Skip to main content

Posts

NI

terciptanya dia oleh tulisan takdir Dia, didatangkan semula selepas tahun-tahun yang memisahkan, dipupuk kasih dan ukhwah ketika kami jauh beribu batu, cuma dihubungi oleh jaringan yang sangat lemah, sembilan belas tahun sejak kali pertama. dan akan ada tahun-tahun di depan, sekalipun nanti terpisah lagi beribu-ribu batuan.

gadis merah

ketika seluruh malam menjadi kelam, dan tiba-tiba kamu datang bertanya khabar. seakan ada cahaya berbalam-balam dari hujung sana. cahaya yang suram seperti kedatangan kamu yang tak pasti. setiap detik yang berlalu aku sudah rasa seperti ada transformasi pada suara-suara kamu. pada lenggok dan bahasa yang kamu alunkan di hujung sana. ya, iya sudah berubah. dan aku melihat pada diri sendiri di setiap helaan nafas yang sengaja aku panjang-panjangkan untuk memeberi ruang dalam hati dan diri merenung dan muhasabah diri. jenuh sekali aku mendengar pintaan maaf yang aku tak pasti mahu salurkan untuk salah yang mana. dan akhirnya aku mengaku sendiri, yang salah kamu yang satunya itu, adalah atas hukuman yang aku jatuhkan dan sekarangpun belum beranjak. maaf, sampai masa nanti akan aku lepaskan beban itu semula. supaya kita sama bebas berterbangan menuju kaki langit yang kita mahukan. di hujung bual, yang kita matikan dengan gelak dan ketawa, aku selitkan satu rasa syukur. kerana kali ini tidak...

rindu

Di hujung panggilan telefon itu, adalah rindu. Yang terkadang melawat aku di waktu pejam. Yang kadang waktu angin sedang berhembus nyaman. Rindu itu, ada waktunya menjadi si jahat. Yang membisik pada telinga ku fitnah dan bohong. Yang mahu menggugat percaya. Masa dan jarak mengasingkan kita dari ruang yang biasa kita tempuhi. Membawa kita ke daerah yang asing. Yang perlu dilalui sendiri. Yang kalau bisa kita bawa separuh dari kita, hanyalah jiwa dan tidak jasad. Memisahkan jiwa dan jasad cuma membuatkan kita menjadi separa penuh. Dan sekali lagi, rindu memenuhkan ruang-ruang kosong. Malam ini, akan kita lalui lagi dengan rindu. Dan bersama setiap rindu adalah harapan. Semoga esok kita ditemukan. Semoga esok kita didekatkan. Dan selagi kita berkongsi rindu dan harapan yang sama, kaki kita akan melangkah menuju arah yang sama. Walau jalannya beda. Hati kita akan bersuara dengan suara yang sama. Degup jantung seirama. Dan kita akan berpimpin di titik pertemuan.

suatu hari

Kebencian yang menerobos masuk ke dalam jiwa beberapa hari ini, cuma membawa pulang kenangan yang sudah disimpan untuk sekian waktu. Bercakap tentang masa silam, sebenarnya membuat hati menjadi lebih gundah dari waktu itu. Kadang-kadang ada satu dua hari kenangan silam itu hanya memancar watak aku yang picisan dalam cerita lampaunya. Tapi setiap satunya memberi impak yang maha. Sampai terbawa ke dalam mimpi yang membuat pagi esoknya menjadi gundah. Ketika setiap malam melabuhkan tirai, aku akan dihasut lena ke mimpi ngeri dan buruk. Yang membuat aku terjaga di hening malam sebelum subuh menjelma. Lantas, setiapnya akan datang menjengah dan mengucap selamat mati padaku. Dan hari siang akan bertukar menjadi medan peperangan emosi dan logika akal. Setiap senyum akan dipalsukan, dan setiap rasa tidak senang akan dikubukan, disimpan kejap di balik lipatan topeng di muka. Topeng-topeng palsu ini adakalanya sopek, terkoyak di mana-mana dan emosi berlumba-lumba keluar. Hatta melodi kosong mamp...

awang-awangan.

semasa mimpi-mimpi beratur di hujung pentas, sebelum apa-apa imej muncul di dalam cerita mimpi, dalam kehilangan yang sebentar itu, adalah pemikiran yang pantas. tentang masa silam yang sering datang bagai hantu-hantu, tentang masa depan yang akan datang seperti cengkaman-cengkaman membunuh yang ngeri, tentang sekarang, yang seperti terampai-ampai. dan sekarang adalah awang-awangan.

nota untuk esok

hujan petang mencurah-curah. sepertinya tak ada tanda-tanda mahu berhenti. dan di setiap percikan ke jendela, membawa setiap keping kenangan. siang dan malam tak ada yang sama lagi. setiap kepingan menjeritkan rindu yang sarat. dan di setiapnya terbisikkan kata-kata penguat. yang esok ada. yang esok perlu dijalani. dan selagi tertakdirkan, esok ada untuk kita-kita yang mahu meneruskan kehidupan.

ke hadapan bintang jatuh,

esok tolong pulangkan arjuna dan para kesatria ke kayangan dengan selamat. esok tolong bawa semua rindu ini ke hujungnya. esok tolong jadikan masa berjalan pantas. tiga hari terlalu lama dari biasa. tiga hari terlalu perlahan masa berjalan. tiga hari seakan mimpi yang tak sudah dan tak jumpa sedarnya. merahkan kembali hati-hati kami. merahkan kembali rona-rona di dalam hati. merahkan kembali senja di hujung langit. bintang jatuh, semoga Tuhan satukan kita. semoga Tuhan restukan kita. semoga Tuhan menjadi yang paling mengertikan kita. pulang cepat. sakit rindu.